Sunday 15 January 2012

Presiden PAS Putuskan Pengganti Hasan Hari Ini


KUALA LUMPUR, 15 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan membuat keputusan hari ini calon bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Mohd Ali sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, nama itu akan beliau sampaikan kepada Menteri Besar Selangor esok.

"Kita jangka, jika tidak ada sebarang masalah, mesyuarat Exco Selangor Rabu ini akan mendapat anggota baru dari PAS," kata Mustafa kepada Harakahdaily.


Semalam, Dewan Harian PAS Pusat bermesyuarat di Alor Setar. Antara topik yang dibincangkan adalah pengganti Hasan Ali.

Hasan dipecat daripada menjadi ahli PAS pada 8 Januari lepas oleh Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau bagaimanapun berpeluang membuat rayuan terhadap keputusan itu kepada Majlis Syura Ulamak dalam tempoh 30 hari selepas dipecat.

Bagaimana pun, malam tadi Hasan membuat keputusan tidak akan merayu. Ia diumumkan beliau dalam satu majlis di Gombak.

Media hari ini menyiarkan keputusan Hasan itu. (Gambar)

Sebelum ini, beberapa pimpinan utama PAS meminta Hasan merayu termasuk Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.
 
Pada 13 Januari lepas, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan perlantikan exco kerajaan negeri yang baru bagi mengantikan Hasan akan diadakan pada 18 Januari nanti di Istana Kayangan, Shah Alam.

Beliau yang hadir pada sidang media selepas mengadap Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberitahu pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan status kedudukan Hasan yang tidak lagi menjadi ahli PAS.

"Pagi tadi saya telah mengadap Tuanku Sultan untuk memberi taklimat mengenai status Dr Hasan sebagai exco.

"Dalam pertemuan itu saya telah mempersembahkan kepada Tuanku Sultan bahawa saya telah menerima surat rasmi dari PAS yang memaklumkan bahawa Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang pada 8 Januari yang lalu telah membuat keputusan memecat Dr Hasan dari menjadi ahli PAS berkuatkuasa serta merta," jelasnya.

Memandangkan Hasan bukan lagi ahli PAS, maka beliau tidak lagi boleh menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Khalid telah menasihati Tuanku Sultan untuk membatalkan perlantikan Hasan.

"Tuanku Sultan telah bersetuju dengan pendapat saya dan baginda akan menulis surat pembatalan perlantikan Dr Hasan sebagai ahli MMKN.

"Pada masa yang sama, Tuanku Sultan telah menurunkan kuasanya pada saya untuk melantik ahli baru MMKN, dalam pada itu baginda juga menasihatkan saya agar menjalankan tanggungjawab ini dengan bijaksana tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak," katanya.

Sumber: Harakah Daily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket