Thursday 12 January 2012

Bahana Sebuah Kegembiraan dipagi 901 - Ustaz Nasrudin Hassan


1. Riuh rendah seluruh negara dengan satu paparan klip video aksi muslimat PAS di himpunan 901 baru - baru ini. Melalui facebook saya juga bertalu - talu diasak pertanyaan dan kritikan yang tidak saya ulas sehinggalah keluarnya artikel ini. Saya ambil sikap tidak mengulasnya kerana menyedari bahawa ini tidak lebih dari game yang digerakkan oleh musuh politik. Lagi pun, saya belum mendapat sebarang penjelasan rasmi dari kepimpinan Dewan Muslimat PAS Pusat .

2. Kelmarin saya hubungi Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Yb. Ustazah Zailah yang lebih selesa saya berbahasa dengan panggilan Kak Lah untuk mendapatkan penjelasan rasmi. Peringkat awal saya gagal menghubunginya kerana beliau difahamkan sedang sibuk mengurus pengebumian jenazah di kawasan beliau. Saya foward satu sms berbentuk kritikan yang saya terima dari seorang pengirim kepada Kak Lah, dimana saya rasakan wajar untuk difoward bagi mendapat penjelasan segera. Beberapa ketika selepas itu, Kak Lah menghubungi saya dan memberikan penjelasan apakah sebenarnya yang berlaku pada hari tersebut.


3. Terus terang saya nyatakan disini, rasa lega dan puas hati dengan penjelasan yang diberi walaupun peringkat awal saya juga agak risau dengan isu yang sedang hangat perbahasannya di alam cyber itu. Apa pun segalanya menjadi iktibar kepada semua termasuk diri saya sendiri yang juga diamanahkan sebagai pemimpin, mengemudi sebuah sayap penting bagi gerakan Islam ini agar melangkah dengan lebih berhati - hati.

4. Saya pernah berpuluh kali menyertai siri demonstrasi rakyat dalam pelbagai isu di Timur Tengah dan Eropah [ Syria, Jordan, Mesir dan Turki ] sepanjang 10 tahun saya berkelana di bumi Anbiya'. Situasi yang saya lihat [aksi muslimat melalui klip video] yang berlaku di himpunan 901 baru - baru ini bukanlah asing kepada saya, kerana suasana dan aksi muslimah yang lebih "girang" pernah saya saksikan dalam himpunan rakyat di Timur Tengah.

5. Secara peribadi saya sendiri tidak selesa dan setuju ianya berlaku dan dilakukan dalam masyarakat kita di Malaysia justeru perbedaan budaya dan sosial yang sangat ketara berbanding negara - negara di Timur Tengah. Namun apa yang berlaku baru - baru ini tidaklah wajar dicemuh dan dinista. Kerana jelas perlakuan itu adalah respon spontan dari sebuah kegembiraan yang tidak terkata apabila pemimpin mereka yang difitnah dan ditohmah sekian lama, pula dihadap kemahkamah berdepan dengan hukuman yang berat dan perit, tiba - tiba didapati tidak bersalah oleh pihak mahkamah dan dibebaskan tanpa syarat.

6. Sungguhpun terdapat perkataan yang tidak wajar dan tidak manis dihamburkan sebagai seorang muslimah, namun berbanding fitnah keji yang dilemparkan sejak sekian lama kepada pemimpin Pakatan Rakyat itu, maka perkataan yang dihamburkan pada himpunan 901 baru - baru ini sangatlah jauh lebih manis berbanding kata nista yang diterima.

7. Perkataan yang dilafazkan itu belum pun setimpal dengan cacian dan kejian yang diterima berasaskan fitnah selama ini. Pun begitu, bukanlah bermakna saya setuju perkataan begitu digunakan oleh seorang muslimah dan mujahidah kerana kita masih ada pilihan perkataan yang lebih baik untuk dilafazkan biarpun kepada lawan politik kita.

8. Itulah bahana sebuah kegembiraan. Saya teringat satu kisah mengenai sebuah kegembiraan dari hadis Nabi saw :

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t amat gembira dengan taubat hambaNya iaitu salah seorang daripada kamu bertaubat kepadaNya semasa dalam perjalanan di kawasan tandus (kering kontang). Semasa berhenti rehat unta berjalan perlahan-perlahan meninggalkannya sambil membawa bersama bekalan makanan dan minuman. Lelaki itu puas mencarinya sehinggalah merasa putus asa lalu berbaring di bawah sepohon pokok. Asyik dalam keadan tersebut tiba-tiba unta yang dicari-cari tadi muncul di sisinya. Dia terus memegang tali kekang unta tersebut. Oleh kerana terlalu gembira dia berkata dalam keadaan tersasul: Ya Allah! Engkau hambaku dan aku tuhanMu.

Riwayat Imam Muslim

[ Perkataan lelaki itu tentu sahaja amat berat apabila mengatakan Ya Allah ! Engkau hambaku dan aku adalah tuhanmu. ... apa lagi perkataan yang lebih berat dari memperhambakan tuhan ? ... tetapi ia dilafazkan tanpa sedar kerana ia dalam keadaan terlalu gembira.]

9. Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat menjelaskan kepada saya bahawa mereka pada peringkat awalnya [ sebelum menerima berita pembebasan yang mengembirakan itu ] telah terlebih dahulu membaca Yasin, al Mathurat dan munajat kepada Allah swt. Apa yang dirakam melalui klip video tersebut adalah reaksi spontan dan gembira dengan berita yang mereka terima selepas itu. Jika ia adalah aksi yang menyinggung perasaan umum, kami memohon maaf kepada semua katanya. Lagipun ia bukanlah satu aksi liar bercampur aduk lelaki dan perempuan bagai yang disangka, sebaliknya kedudukan mereka berasingan dalam kelompok mereka sendiri [muslimah]

10. Saya lihat ianya bukanlah suatu yang sukar, melainkan hanya suatu keadaan yang boleh diperbaiki untuk menampakkan keindahan akhlak muslimah dan saya berpandangan bahawa ianya tidak boleh berulang lagi. Dalam masa yang sama, masyarakat umum tidak perlu terpengaruh dengan agenda memburukkan peribadi muslimat PAS melalui pengeksploitasian klip video tersebut dan membuat penafsiran melampau berbanding situasi sebenar yang berlaku.

11. Saya menyebut demikian, bukan kerana mahu membela apa yang salah dan mempertahankan apa yang silap. Telah saya tegaskan bahawa apa yang berlaku adalah suatu yang boleh diperbaiki dan tidak wajar berulang lagi. Namun ia bukanlah satu kesalahan yang disengajakan malah tidak pula kesalahan yang merosakkan hak orang lain seperti jenayah menggelapkan harta negara serta menyalahguna wang zakat. Sebaliknya, Ia hanyalah perbahasan akhlak yang perlu dimurnikan bagi menampilkan sosok muslimah yang lebih baik, wara' dan solehah.

Selamat Berjuang.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket