Sunday 15 January 2012

PAS Eratkan Hubungan Rakyat, Lepasi Batasan Kaum


ALOR SETAR, 14 Jan: PAS ternyata bukan parti yang memecahbelahkan rakyat negara ini khususnya di kalangan orang Melayu, malah semakin mengeratkan lagi perpaduan di kalangan rakyat sehingga melepasi batasan kaum.

Perkara itu antara lain boleh dirujuk oleh pelbagai pihak menerusi buku bertajuk 'Icon Kemurnian Kaum Di Kelantan' yang diterbitkan oleh Kerajaan Kelantan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dalam buku itu antara lain dijelaskan tentang perpaduan yang utuh di kalangan kaum-kaum yang terdapat di negeri itu.


Menurutnya, salah satunya melibatkan seorang lelaki yang beketurunan Cina di negeri itu yang menyertai skim Takaful Kifalah yang diadakan oleh Kerajaan Kelantan, dengan memperolehi pulangan sebanyak RM2,500.

Katanya, sebelum meninggal dunia, lelaki itu memberitahu kepada keluarganya bahawa langkah Kerajaan Kelantan itu amat baik dan wajar disokong kerana ia jelas bertujuan untuk membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

"Mendiang turut berpesan kepada keluarganya jika dia meninggal dunia, wang sebanyak RM2,500 itu hendaklah didermakan kepada Masjid Muhammadi di Kelantan.

"Pada hal lelaki itu bukan Islam," katanya ketika berucap pada sesi Ucapan Penggulungan Pimpinan pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, di sini, hari ini.

Manakala dalam perkembangan lain, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, melibatkan seorang lelaki Thailand yang juga bukan Islam yang memberikan derma sebanyak RM10,000 kepada Masjid Ismail di Kelantan pada tahun 2007 lalu.

"Pada tahun lalu pula, lelaki yang sama telah memberikan derma kepada Masjid Ismail dengan jumlah lebih besar sebanyak RM20,000," jelasnya.

Tindakan kedua-dua lelaki bukan Islam itu, tambahnya ketika berucap pada sesi yang dipengerusikan oleh Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah itu, jelas menunjukkan dakwaan Umno BN yang mengatakan PAS memecahbelahkan rakyat tidak berasas.

"Sebaliknya, PAS bukan sekadar disokong oleh orang Melayu, tetapi juga kaum-kaum lain yang juga bukan Islam sehingga turut membantu usaha Kerajaan Kelantan untuk mendaulatkan Islam di Kelantan.

"Perkara itu amat jauh berbeza dengan tindakan orang bukan Islam di Eropah yang dijadikan rujukan Umno BN sehingga sanggup meroboh dan membakar masjid," katanya.

Beliau turut mengingatkan setiap umat Islam khususnya agar menjaga amanah Allah dengan baik dan tidak membuat fitnah terhadap PAS yang berjuang untuk mendaulatkan Islam di negara ini.

Sumber: Harakah Daily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket