Sunday 22 January 2012

Tarbiah Hebat, PAS Kuat


Tidak ada harakah tanpa tazim, tidak ada tanzim tanpa tarbiah. Atas asas ini Pas mampu bergerak di persada politik tanah air pada hari ini kerana kekuatan tarbiah yang menjadi teras kepada gerak kerja parti. Sebab itu di dalam Pas ada dua lajnah yang penting dari sudut organisasi, pertama ialah lajnah tarbiah dan kedua ialah lajnah penerangan. Lajnah tarbiah lebih fokos kepada melahirkan tenaga penggerak parti manakala lajnah penerangan ialah menyebar luas dasar dan perjuangan parti kepada pihak luar.

Peranan lajnah tarbiah ialah untuk melahirkan ahli yang kental sebagai penggerak parti. Ia membekalkan tenaga parti kepada lajnah lain. Oleh itu apabila program tarbiah tidak berjalan ia akan berlaku kepincangan dalam gerak kerja parti samada dari segi fikrah atau perlaksanaan kerja.

Semua peringkat kepimpinan daripada pusat sampai kepada cawangan, daripada ahli biasa sampai kepada pimpinan tertinggi dalam parti mesti meletakkan bahawa tarbiah adalah tunjang kepada gerakan Pas. Proses tarbiah tidak akan berakhir apabila sudah menang atau sudah menjadi pimpinan tertinggi. Sebaliknya usaha ini berterusan tanpa terhenti. Seperti mana juga menuntut ilmu daripada buaian sampai kepada liang lahad. Jika ada tanggapan bahawa tarbiah hanya untuk orang bawah sahaja, sedangkan pimpinan tertinggi tidak perlu maka  adalah tanggapan yang silap dan songsang.


Sebagai sebuah parti atau jamaah yang bukan sebagai badan perniagaan,maka sudah tentu yang boleh menggerakkan parti ialah dengan janji pahala kerana merupakan amal soleh. Pas tidak menjanjikan kepada penjawat dalam parti  upah dan habuan dunia. Inilah kejayaan Pas selama ini, sehingga mampu bertahan hampir 60 tahun,  menjadi sebuah parti yang paling lama di persada politik negara setelah parti Umno diharamkan pada tahun 1987. Sedangkan  Umno yang ada sekarang ini ialah parti 1988.

Oleh itu jika pengabaian terhadap tarbiah ini berlaku maka ia akan merbahaya kepada masa depan parti. Pas tidak mampu melawan musuh politiknya dengan wang. Wang yang dimiliki oleh pesaing Pas terlalu banyak dengan bantuan daripada tauke judi dan arak. Sedangkan sumber kewangan Pas amat terhad iaitu dari kalangan ahli parti.

Sekiranya kegiatan tarbiah lemah ia akan memberi kesan kepada gerakan politik. Kemungkinan sehingga suatu waktu nanti Pas akan kehilangan mereka yang sanggup untuk menjadi calon, wakil calon, penyokong dan pencadang kerana tidak sanggup berkoraban. Tenaga pilihanraya akan ketandusan kerana mereka yang datang membantu setiap kali pilihanraya  tanpa diupah oleh mana-mana pihak. Walau pun mereka yang membantu tahu, jika calon yang mereka bantu itu menang mereka tidak mendapat apa-apa hasil daripada usaha mereka untuk memenangkan calon Pas. Mereka tidak mengharapkan apa Yang Berhormat Pas berikan kepada mereka, cuma mereka mengharapkan Yang Berhormat Pas bertanggungjawab kepada Pas. 

Inilah  hebatnya tarbiah Pas. Sebab itu jika ada calon Pas yang khianat mereka akan menjadi bahan sumpah oleh mereka yang bertungkus lumus di dalam pilihanraya. Tiba-tiba mereka menjual kerusi ketika waktu “berperang”, mereka yang melakukan demikian tidak akan selamat di dunia dan di akhirat. Oleh itu calon Pas yang menang mereka tidak boleh mendabik dada mereka menang kerana populariti mereka bukan kerana kesungguhan petugas Pas. Jika ini berlaku semuanya gara-gara tarbiah tidak menyerap masuk di dalam dirinya dan ia perlu lagi ditarbiah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket