Thursday 12 January 2012

Perginya Seorang Penyokong Tegar PAS

 
Di mana sahaja program penting PAS atau Pakatan Rakyat di seluruh negara, pasti beliau tidak ketinggalan.

Kelibat penampilannya yang berjubah serban, berkaca mata hitam, bertongkat dan bertasbih besar serta butang-butang lencana dikenakannya sentiasa menarik perhatian umum biar di mana beliau berada.

Namun susuk tubuh tua yang kental jiwanya itu kini telah pergi mengadap Allah azzawajalla untuk selama-lamanya.
Penyokong tegar PAS, Mohd Isa Lebai Ahmad kembali ke rahmatullah jam 10.32 malam tadi di rumahnya di Kampung Bukit Bertam, Selama, Perak. Jenazah beliau akan dikebumikan jam 11.00 pagi ini.

Harakah difahamkan, sehari sebelumnya beliau dimasukkan ke Hospital Sungai Petani kerana darah tinggi.

Dalam usia 88 tahun itu, arwah yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Teh Mat Isa tetap istiqamah menghadiri setiap program penting PAS atau Pakatan Rakyat di seluruh negara sebagai menyatakan sokongannya.

Program besar terakhir dihadirinya adalah Himpunan Bebaskan Anwar 901 di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya malam itu, beliau sempat singgah mengikuti ceramah di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang.

“Anwar bebas, tugas saya sudah selesai, saya mahu pulang,” demikian kata-kata terakhir allahyarham selepas diumumkan keputusan perbicaraan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Arwah juga pernah ditahan polis pada Himpunan Aman Bersih 2.0 tahun lalu.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dikalangan para pendokong agama-Nya. Al-Fatihah.
 
Setiausaha Pemuda PAS Kedah, Ustaz Mohd Rosli Azmi bersama rombongan
Pemuda PAS Kulim/Bandar Baru menziarahi jenazah Pak Teh tengah malam tadi
 
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket