Friday 13 January 2012

Pak Syed selamat disemadikan bersama rakannya

 (Gambar: Datuk Dr Haron Din mengimamkan solat jenazah untuk Pak Syed)

GOMBAK, 13 Jan: Jenazah petugas veteran pejabat Agung PAS, Drs Syed Muhamad Syed Hasan selamat disemadikan di tanah perkuburan Taman Batu Muda dekat sini.

Beliau disemadikan setanah perkuburan dengan sahabat karib beliau yang juga bekas Timbalan Presiden PAS, Allahyarham Ustaz Hassan Shukri.

Yang menjadi imam solat jenazah beliau adalah Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din.


Turut menunaikan solat jenazah di belakang Haron Din adalah Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan, Datuk Ismail Kamus dan juga Ustaz Taib Azzamudin.

Di samping itu, jenazah Syed Muhamad atau lebih dikenali Pak Syed di kalangan petugas Pejabat Agung dan pimpinan PAS, diziarahi oleh begitu ramai pimpinan PAS bermula dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang merupakan antara yang awal sampai.

 (Gambar: Perjalan terakhir seorang pejuang)

Di samping itu, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub, Pengarah Pilihan Raya Dr Hatta Ramli dan AJK Ustaz Idris Ahmad turut menziarahi beliau di samping rakan-rakan terdekatnya.  

Pak Syed meninggal jam 8.20 pagi tadi. "Suami saya pergi dengan mudah, tiada tanda-tanda beliau sakit yang parah.Saya sendiri tidak menyangka. namun saya redha atas ketentuan-Nya," kata Saribah kepada wartawan Harakah, Wan Nordin Yaakob ketika ditemui di rumahnya sewaktu jenazah Pak Syed sebelum dibawa ke Masjid Ar Rahimah, Taman Greenwood Gombak untuk diuruskan di sana.

Pak Syed menghembuskan nafasnya selepas keluar dari bilik air di rumahnya di Taman Melewar, Gombak.

"Tiba-tiba sahaja beliau duduk 'congok' tidak bergerak. Saya cuba mengejutnya, tetapi tiada reaksi. Cepat-cepat saya telefon seorang doktor (kenalannya), Dr Rahman untuk datang melihat keadaan Allahyarham," katanya.

Sebaik sahaja tiba di rumahnya, doktor mengesahkan bahawa Pak Syed telah meninggal dunia, cerita Saribas.

Menceritakan tentang perwatakan bekas Penolong Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat ini, Subky Latif, yang juga rapat dengan Allahyarham semasa di Harakah berkata, Pak Syed memiliki keistimewaan yang jarang ada pada petugas parti yang lain.

Pak Syed seorang yang cukup berani dalam menegur kepimpinan tertinggi PAS, walaupun dalam nada yang perlahan, namun ianya memberi kesan, kata Subky.  

 (Gambar: Semasa hayatnya tugas Pak Syed berbagai-bagai termasuk melayani kanak-kanak ini)

Sementara itu, Kamarudin Jaffar, Pengarah Urusan Harakah pula menceritakan bahawa beliau mengenali Allahyarham sejak masih di dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) lagi.

"Pak Syed seorang pejuang Islam yang sejati.Saya kenali beliau sejak saya di Abim lagi.Allahyarham sering menjadi rujukan kepada orang-orang baharu yang menyertai PAS dan duduk di Pejabat Agung PAS," katanya.

Pendek kata, pemergian Allahyarham Pak Syed amat-amat dirasai lebih-lebih lagi yang mengenali beliau.

Sekalung Al-Fatihah dari Harakah dan Harakahdaily kepada Allahyarham Pak Syed agar rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket