Friday, 13 January 2012

Hukum Penggunaan Wang Zakat


1. Golongan yang berhak menerima harta zakat telah ditentukan Allah, ianya tidak diserahkan kepada pilihan manusia atau pemerintah semata-mata. Setiap yang telah ditentukan Syarak perlulah dilaksanakan sebagaimana dikehendaki Syarak. Ini menjadi amanah penting yang dipikul oleh individu atau institusi yang bertanggungjawab menguruskan harta zakat; memungut dan mengagihkannya.

Menjadi satu kaedah yang disepakati oleh para Fuqahak bahawa;


تَصَرُّفُ الإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

“Tidak tanduk pemimpin dalam perkara yang berkait dengan rakyat terikat dengan maslahah (untuk rakyat)” 



(al-Asybah wa an-Nazair, Imam as-Suyuti).

Mengulas kaedah ini, Imam Ibnu Nujaim berkata;

إذا كان فعل الإمام مبنيا على المصلحة فيما يتعلق بالأمور العامة لم ينفذ أمره شرعا إلا إذا وافقه فإن خالفه لم ينفذ

“Oleh kerana perlakuan/tindakan pemimpin bagi urusan-urusan awam mesti terbina di atas maslahah, tidak dilaksanakan arahannya –dari segi Syarak- melainkan jika arahan itu menepati maslahah. Maka jika ia menyalahai maslahah, tidak harus dilaksanakan”


(al-Asybah wa an-Nazair, Imam Ibnu Nujaim, halaman 138).


2. Khusus bagi pengurusan kewangan, Saidina ‘Umar pernah menegaskan;

إني أنزلت نفسي من مال الله تعالى بمنزلة ولي اليتيم

“Sesungguhnya aku meletakkan diriku dalam pengurusan harta Allah sama seperti kedudukan penjaga harta anak yatim”.


Penjaga harta anak yatim adalah adalah pemegang amanah. Tidak harus ia membelanjakan harta itu sewenang-wenang seolah-olah harta itu miliknya, sebaliknya ia hendaklah menguruskan harta itu bagi pihak orang lain dengan penuh kejujuran agar ancaman Allah dalam ayat berikut tidak berlaku ke atasnya;


إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَى ظُلْماً إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي
بُطُونِهِمْ نَاراً وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيراً

(Surah an-Nisa’, ayat 10)


Menyentuh tentang pengurusan harta zakat, Imam an-Nawawi menegaskan; “Adalah dituntut ke atas pemerintah dan individu yang ditugaskan memungut zakat apabila diserahkan kepadanya urusan pengagihan harta zakat untuk memberi perhatian kepada memastikan dengan tepat orang-orang yang berhak terhadap harta tersebut, mengetahui bilangan mereka, kadar keperluan mereka dan kadar hak mereka”


(al-Majmu’, kitab az-Zakah, bab Qism as-Sadaqaat, 6/188).


3. Golongan yang berhak menerima zakat


Allah telah menghadkan orang-orang yang berhak menerima harta zakat kepada lapan golongan;


1. Untuk golongan fakir

2. Untuk golongan miskin
3. Untuk golongan muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agama
4. Untuk ‘amil-amil yang dilantik menguruskan zakat
5. Untuk hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinya
6. Untuk orang-orang yang dibelenggu oleh hutang
7. Untuk dibelanjakan bagi kemaslahan agama Allah (Fi Sabilillah)
8. Untuk orang-orang musafir yang terputus bekalan.


إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَاِبْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (yakni zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hokum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.


(at-Taubah: 60)


4. Oleh kerana orang-orang yang berhak menerima zakat telah ditetapkan oleh Allah, tidak boleh sewenang-wenangnya kita harta zakat digunakan kecuali kepada kepada aspek-aspek yang ditentukan Syarak. Para ulamak menegaskan; Jika seorang telah tersalah memberikan zakatnya di mana ia membayar zakatnya kepada orang yang tidak layak menerima harta zakat, maka zakatnya tidak sah dan wajib diulangi.


(al-Fiqhul Wadhih, jil. 1, hlm. 514).


Kerana itu, amat penting diperhatikan kepada siapa kita salurkan zakat kita?


5. Pengertian Sabilillah


Jumhur ulamak terdahulu (termasuk ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie) mengkhususkan Fi Sabilillah hanya kepada tentera-tentera Islam yang berperang di jalan Allah. Ini sebagaimana ditegaskan oleh Imam as-Syirazi dalam al-Muhazzab;


“Bahagian Fi Sabilillah diberikan kepada tentera-tentera yang berperang secara bersunguh-sungguh jika mereka tidak diberi gaji. Adapun tentera-tentera yang dibayar gaji oleh pemerintah, maka mereka tidak diberikan zakat kerana rezki dan keperluan mereka ditanggung oleh harta Negara (al-Fai’)”


(al-Muhazzab, Kitab az-Zakah).


6. Berkata Imam Nawawi ketika mensyarahkannya;


“Mengikut mazhab kami (yakni mazhab Syafi’ie), habuan fi Sabilillah yang disebut dalam ayat ialah dibelanjakan kepada tentera-tentera yang tidak diperuntukkan bagi mereka harta dari jabatan kerajaan di mana mereka berperang secara sukarela. Perdapat yang sama diutarakan oleh Abu Hanifah dan Malik”


(al-Majmu’, Imam an-Nawawi).


7. Namun terdapat para ulamak yang memperluaskan pengertian Fi Sabilillah ini kepada semua aktiviti dan usaha untuk kemaslahan Islam dan umat Islam. Di antara mereka, Imam al-Kasani yang menyebutkan dalam kitabnya yang terkenal (بدائع الصنائع):


Adapun firman Allah (وَفِي سَبِيلِ اللَّه): ia adalah ungkapan bagi semua usaha yang mendekatkan diri kepada Allah. Maka termasuk di dalamnya semua orang yang berusaha melaksanakan ketaatan kepada Allah dan berusaha di jalan kebaikan jika ia seorang yang memerlukan (harta zakat)”.


8. Menurut Imam Fakhruddin ar-Razi; Imam al-Qaffal telah menaqalkan dalam tafsirnya dari beberapa Fuqaha’ yang mengharuskan dibelanjakan zakat untuk semua bentuk kebaikan/kebajikan seperti membina benteng-benteng pertahanan, membangunkan masjid dan sebagainya kerana ungkapan Allah (وَفِي سَبِيلِ اللَّه) itu adalah umum”.


(Tafsir ar-Razi: 16/113, Lihat Fiqh az-Zakat, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jil. 2, hlm. 689).


9. Apa yang jelas dari kalimah yang digunakan Allah “Fi Sabilillah”, penggunaan harta zakat bagi tujuan ini hendaklah yang ada kaitan dengan agama dan ummah, bukan semata-mata kepentingan bersifat individu. Ini sebagaimana disentuh oleh Syeikh Rasyid Ridha dalam tafsirnya al-Manar; “Setelah dibuat kajian jelaslah bahawa yang dimaksudkan dengan Fi Sabilillah di sini ialah segala urusan kepentingan umum kaum muslimin yang dengannya tertegak urusan agama dan Negara. Ia bukan urusan kepentingan individu….”.


(Fiqhu az-Zakah, jil. 2, hlm. 692).


10. Ditegaskan juga oleh Syeikh Abdurraziq Nasir Muhammad (salah seorang ulamak al-Azhar, Mesir) dalam buku Fiqh Zakatnya; “Maksud kalimah Sabilillah ialah maslahah-maslahah umum yang melata manfaatnya kepada sekelian kaum muslimin, bukan yang khusus kepada individu tertentu sahaja”


(Fiqh az-Zakah Fi al-Mal wa al-Badan, halaman 139)


Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Sumber: Harakah Daily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...