Tuesday 10 January 2012

Tindakan UPSI Rendahkan Maruahnya


KUALA LUMPUR, 10 Jan: Tindakan jawatankuasa disiplin Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebenarnya telah merendahkan maruah dan nama baiknya apabila menggantung Adam Adli Abdul Halim (gambar) selama 18 bulan. 

Sehubungan itu, Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, jika benarpun pelajar itu membuat salah, tindakan seharusnya mendidik bukannya menakutkan pelajar. Beliau yang juga naib presiden PKR mengulas tindakan UPSI yang menggantung Adam Adli semalam ekoran tindakan pelajar itu menurunkan bendera gambar Presiden Umno yang dinaikkan di depan bangunan UMNO, PWTC itu.



"Kalaupun suatu kesalahan telah dilakukan, tindakan yang diambil haruslah bersifat memberi pengajaran, bukannya membudayakan budaya ketakutan di kalangan orang muda," kata beliau dalam kenyataannya.

Bagi beliau, UPSI mempunyai sejarah yang begitu dalam dan cukup berkait rapat dengan kebangkitan semangat kebangsaan sejak sebelum Malaya mengecapi kemerdekaan.

Oleh itu bagi beliau, tindakan menggantung pendidikan Adam Adli ini adalah tindakan yang opresif, bermotifkan politik yang zalim dan jelas menghalang mahasiswa dari menyuarakan pandangan mereka.

Bagi beliau, sebagai nadi masyarakat majoriti, mahasiswa dan anak muda wajib diberi ruang untuk berfikir secara kritikal, berbincang secara mendalam, dan bersuara dengan lantang.

"Di manakah mahasiswa mampu mengalami ruang sebegini jikalau bukan di universiti? Maka secara implikasinya, jawatankuasa disiplin yang telah menjatuhkan hukuman ke atas Adam semalam lah yang sebenarnya merendahkan maruah dan nama UPSI itu sendiri," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar bangkit dan pertahankan hak mahasiswa, kerana mahasiswa lah yang menjadi penyambung perjuangan demi Malaysia yang lebih baik.

Sumber: Harakah Daily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket