Thursday 12 January 2012

Tindakan Disiplin Satu Tarbiah


Apabila kita mengisi borang sebagai ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kita telah berjanji untuk mematuhi perintah dan arahan parti selagi ia tidak bertentangan dengan Islam. Janji ini merupakan lumrah kepada mana-mana organisasi. Begitu juga apabila kita bekerja di sektor swasta atau awam tetap mempunyai disiplin dan peraturan yang perlu dipatuhi jika mahu berkerja di tempat ini. Perkara yang sama kita sebagai seorang muslim sudah pun digariskan oleh Nabi SAW sebagai panduan disiplin dengan agama kita yang tidak boleh  dirungkai daripada diri kita. Tidak ada makhluk yang bernama manusia hidup tanpa peraturan dan disiplin. Sekiranya manusia hidup tanpa  disiplin, maka dunia akan haru hara. Lebih-lebih lagi sebagai sebuah parti yang hendak mendaulatkan Islam dan mempunyai cabaran yang begitu besar perlu mempunyai disiplin yang ketat supaya tidak ada gangguan untuk mencapai matlamatnya.
 
Banyak kisah-kisah yang dipaparkan di dalam sirah Nabi SAW yang boleh menjadi teladan kepada kita. Oleh itu tindakan disiplin adalah sebahagian daripada tarbiah di dalam jamaah.

Contoh yang berlaku tindakan disiplin kepada tiga orang sahabat Nabi SAW yang tidak menyertai perang Tabuk. Mereka ialah Kaab bin Malik, Murarah bin Rabi’ah Al-Amiri dan Hilal bin Umayah Al-Waqifi. Mereka ini adalah antara lapan puluh orang yang tidak pergi berperang di Tabuk. Rasulullah tidak menerima keuzuran mereka bertiga, manakala yang lain baginda menerima dari  alasan mereka.

Menurut Kaab bin Malik beliau tidak pernah ponteng di dalam setiap kali berperang, tetapi di dalam perang Tabuk beliau merasa malas hendak menyertai, walaupun beliau mempunyai kelengkapan yang cukup melebihi daripada keterlibatan beliau berperang di medan yang lain. Oleh kerana godaan nafsu dunia maka beliau tidak berangkat bersama dengan nabi SAW. Beliau menyangka baginda tidak tahu,  sangkaan beliau meleset kerana baginda terus bertanya beliau ketika di Tabuk.

Apabila baginda pulang daripada Tabuk, maka Kaab pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW di masjid untuk meminta maaf, maka baginda suruh beliau balik sehingga mendapat pengampunan daripada Allah SWT. Baginda mengarahkan jangan berurusan dengan mereka bertiga, ertinya mereka dipulau oleh orang Islam di Madinah. Baginda sendiri tidak melayan dan menegur Kaab. Dua orang sahabat yang lain hanya tinggal di dalam rumah dan menangis serta memohon keampunan daripada Allah SWT.

Pada suatu hari ada utusan Raja Ghassan daripada Syam datang membawa surat daripada untuk memujuk Kaab bin Malik ke Syam kerana sahabat dan saudara mereka tidak perlukan beliau lagi. Maka Kaab mengambil surat itu lalu dibakar kerana ini adalah ajakan syaitan dan iblis supaya beliau meninggalkan Islam.

Masuk hari yang ke empat puluh maka datang satu utusan menyuruh mereka menjauhkan isteri mereka. Maka Kaab menyuruh isterinya pulang ke pangkuan keluarga sehinggalah datang pengampunan daripada Allah SWT. Oleh kerana Hilal bin Umaiyah sangat tua dan lemah maka isterinya datang bertemu Rasulullah SAW lalu ia bertanya, “Ya Rasulullah, sebenarnya Hilal bin Umaiyah seorang yang  sangat tua, lagi pula ia tidak memiliki seorang pembantu. Adakah boleh aku melayaninya di rumah?”

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak! Akan tetapi ia tidak boleh mendekatimu!”

Isteri Hilal menjelaskan, “Ya Rasulullah! Ia sudah tidak bersemangat pada yang itu lagi. Demi Allah, yang dilakukannya hanya menangisi dosanya sejak saat itu hingga kini!”. Maka Rasulullah tetap tidak benarkan.

Selama lima puluh hari lima puluh malam pemulauan berlaku terhadap mereka bertiga, selepas waktu subuh datang utusan daripada baginda SAW memberi tahu bahawa Allah SWT telah mengampunkan mereka bertiga.

Mendengar berita itu Kaab terus  sujud syukur kepada Allah.

Ketika aku mengucapkan salam kepada Rasulullah, mukanya nampak cerah dan gembira, katanya “Bergembiralah kau pada hari ini! Inilah hari yang paling baik bagimu sejak kamu dilahirkan oleh ibumu!”

“Apakah dari Allah ataukah dari engkau ya Rasulullah?” tanyaku sabar.

“Bukan dariku! Pengampunan itu datangnya dari Allah!” jawab Rasul SAW.

Demi Allah, aku belum pernah merasakan besarnya nikmat Allah kepadaku sesudah Dia memberi hidayah Islam kepadaku, lebih besar bagi jiwaku daripada sikap jujurku kepada Rasulullah SAW.”

Ka’ab lalu membaca ayat pengampunannya itu dengan penuh haru dan syahdu, sementara air matanya berderai membasahi kedua pipinya.

“Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat) mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas, dan jiwa mereka pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta telah mengetahui bahwa tidak ada tempat lari dari (siksa) Allah melainkan kepadaNya saja. Kemudian, Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah Yang Maha menerima taubat lagi Maha Penyayang.” (At-Taubah: 118) 

Banyak lagi kisah tindakan disiplin yang dikenakan kepada para sahabat antaranya ialah kepada Hatib Abi Balta’ah yang membocor rahsia mengenai persiapan baginda untuk menyerang Makkah kepada kaum keluarganya di Makkah. Beliau selamat daripada hukuman kerana Hatib ialah ahli Badar. Begitu juga dengan Abu Lubabah ibn Munzir yang diamanahkan oleh Rasulullah SAW untuk berunding dengan Bani Quraizah yang sudah dikepung selama dua puluh lima hari. Apabila Abu Lubabah sampai mereka meminta pandangan apakah kamu berpedapat lebih baik kami mengikut hukum Muhammad? Abu Lubabah mengatakan: Ya . kemudian dia mengisyaratkan tangan dan tengkuknya, yakni menunjukkan mereka akan disembelih. Apabila beliau menyedari beliau telah mengkhianat amanah Rasulullah maka beliau mengikat badan beliu di masijid selama enam hari sehinggalah datang pengampunan daripada Allah SWT, bermaksud:

“Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka yang bercampur baur pekerjaan yang baik dengan pekerjaan lain yang buruk. Mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi Maha Penyayang” (al-Taubah 9:102)

Pernah berlaku kepada seorang aktivis PAS di Pasir Salak Perak yang telah diambil tindakan oleh jawatankuasa disiplin parti kerana masalah dalaman parti, namun beliau tidak pernah jemu-jemu membantu PAS dan menghadiri program PAS walaupun beliau bukan ahli PAS. Paling menarik rumah beliau telah diadakan ceramah oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin yang memecat beliau pada ketika itu. Selepas beberapa beliau ditemui meninggal dengan penuh misteri di dalam parit di tanah rancangan Felcra Seberang Perak.

Rumusannya:
1. Tindakan disiplin adalah merupakan sebahagian daripada tarbiah.
2. Mereka yang berjiwa besar akan menganggap ini adalah satu penghormatan dan peluang untuk mereka muhasabah diri
3. Mereka yang dikenakan tindakn disiplin diuji dengan secara praktikal, bukan sahaja teori. Kerana tarbiah ialah amali bukan teori semata-mata.
4. Salah satu cara Allah hendak mengangkat darjat seorang itu di dalam berjamaah.
5. Menguji keikhlasan seorang itu samaada mereka berjuang kerana Allah, bukan kerana jawatan.
6. Tidak rugi apabila kita merendah diri dan rela menerima tindakan dengan hati yang lapang.
7. Allah akan menguji kepada kita sama ada kita akan mengkhianat jamaah atau tidak apabila kita diambil tindakan. Jika Kaab bin Malik dipujuk oleh Raja Ghassan yang kafir, maka kita juga akan dipujuk oleh musuh-musuh PAS yang sentiasa mencari peluang.
8. Contohilah seorang ahli biasa PAS di Pasir Salak walaupun diambil tindakan mereka terus memberikan khidmat kepada PAS.
9. Allah hendak melihat kita bercakap serupa dengan apa yang kita sering ungkap kisah Khalid ibn Walid yang dipecat di zaman Saidina Umar. Beliau terus berjuang walaupun menjadi pengikut biasa.

Sumber: Harakah Daily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket